Kuala Lumpur: Jabatan Peguam Negara (AGC) mempunyai asas yang kukuh bagi mendapatkan penjelasan kehakiman berhubung perintah pelepasan Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh berkata, perintah pelepasan atas pembayaran denda oleh Mahkamah Tinggi dikeluarkan pada 6 November lalu dilihat menuntut bekas perdana menteri itu dibebaskan serta-merta tanpa syarat selepas bayaran denda RM50 juta dijelaskan.

Beliau menegaskan perkara ini bercanggah secara langsung dengan Perintah Pengampunan Bersyarat Yang di-Pertuan Agong bertarikh 18 September, yang menetapkan Najib perlu menjalani baki hukuman kes SRC International melalui tahanan rumah sehingga tahun 2028.