BAGAN DATUK: Tempoh latihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dicadang dilanjutkan daripada 45 hari kepada sekurang-kurangnya 90 hari bagi memperkukuhkan daya tahan dan disiplin dalam kalangan pelatih.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun tempoh latihan sedia ada dilihat mencukupi, cadangan untuk melanjutkan tempoh latihan pada siri PLKN akan datang wajar dipertimbangkan bagi memastikan keberkesanan program tersebut.
“Tempoh 45 hari itu saya rasakan mencukupi buat masa ini, namun jika mahu program ini lebih mantap, kita perlu pertimbangkan untuk melanjutkannya kepada sekurang-kurangnya 90 hari atau 180 hari pada masa akan datang.
“Daya tahan dalam kalangan wira muda ini perlu diterapkan menerusi kurikulum PLKN 4.0 atau 5.0 nanti. Bagaimanapun, pelaksanaannya juga bergantung kepada kemampuan kerajaan untuk membiayai program yang baik ini,” katanya.







