Bagan Datuk: Kerajaan bercadang untuk menggerakkan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 sebagai sukarelawan dalam menghadapi bencana seperti banjir di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mobilisasi pelatih PLKN adalah sebagai kekuatan sokongan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana sedia ada sama ada peringkat pusat mahupun negeri.
"Sekarang memang sudah ada, umpamanya di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana. Tetapi oleh kerana mereka akan berada di bidang yang berbeza mungkin data boleh dikumpulkan untuk kita mobilisasikan mereka.
"Namun, jika mereka bekerja mungkin sukar sedikit, tetapi kita boleh cari pendekatan membawa mereka menjadi sukarelawan ketika bencana yang mana tenaga mereka diperlukan," katanya selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 4/2026 – PLKN 3.0 di Kompleks Sukan Bagan Datuk, Jalan Simpang Empat, di sini hari ini.










