KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir gagal dalam permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, bagi mencabar tuntutan tunggakan cukai berjumlah RM5.02 juta oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).Hakim, Datuk Azizan Md Arshad memutuskan demikian selepas mendapati tiada keadaan luar biasa yang membolehkan anak bekas Perdana Menteri itu memintas proses rayuan berkanun dengan terus memohon semakan kehakiman.Pada 2 Januari lalu, Mukhriz berjaya mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi membatalkan tindakan LHDN mengeluarkan notis berkenaan.Bekas Menteri Besar Kedah berusia 62 tahun itu memohon semakan kehakiman berhubung tindakan LHDN yang mengeluarkan notis berkenaan melibatkan jutaan ringgit terbabit bagi tahun 2017 hingga 2019.Jumlah yang dipertikaikan membabitkan taksiran tambahan RM2,558,875.90 bagi tahun 2017, RM2,445,004.91 (2018) dan RM16,826.37 (2019).Semasa membaca keputusan, Azizan berkata, semua isu yang dibangkitkan perlu diputuskan oleh Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) menerusi mekanisme rayuan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.Menurutnya, mahkamah menerima hujahan LHDN bahawa Mukhriz selaku pemohon telah memfailkan rayuan terhadap taksiran cukai dan proses berkenaan masih berjalan."Justeru, mahkamah berpendapat permohonan ini merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah."Bagaimanapun, keputusan ini hanya menyentuh isu bidang kuasa dan tidak membabitkan merit atau asas pertikaian cukai berkenaan,"katanya sebelum memerintahkan anak negarawan berkenaan membayar kos sebanyak RM5,000 kepada LHDN.Beliau berkata, pihak-pihak masih mempunyai hak untuk membawa perkara berkenaan ke mahkamah selepas proses di SCIT selesai, tertakluk kepada undang-undang.Pada prosiding tersebut, Mukhriz diwakili peguam, Nizamuddin Hamid, Nurul Najwa Zainuddin dan Syed Afiq Syed Albakri manakala LHDN oleh peguam hasil, Marina Ibrahim serta Nur Farzana Muhammad Muad.Pada 20 Disember 2024, Mukhriz memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Ketua Pegawai Eksekutif atau Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri, Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.Dalam permohonan itu, Mukhriz yang juga ahli perniagaan memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden pertama mengeluarkan notis berkenaan atas alasan tindakan responden pertama telah menyalahi undang-undang dan tidak munasabah.Beliau juga memohon deklarasi bahawa keputusan responden pertama mengenakan penalti terhadapnya di bawah Seksyen 113 (2) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 adalah terbatal dan ultra vires.Pada Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan untuk menggugurkan Anwar dan Kerajaan sebagai responden dalam semakan kehakiman itu, selepas memutuskan isu yang dibangkitkan hanya melibatkan LHDN.