KUALA LUMPUR: Seramai 43 individu ditahan dan 26 daripadanya didakwa di mahkamah hasil 265 serbuan melibatkan kegiatan perlombongan mata wang kripto secara haram di Manjung, Perak sejak 2024 hingga Ogos lalu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, operasi yang dijalankan polis bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu turut melibatkan rampasan 823 mesin perlombongan di beberapa kawasan sekitar Manjung.
Katanya, antara cabaran utama pihak berkuasa ialah mengenal pasti dalang kegiatan berkenaan kerana premis yang digunakan kebanyakannya disewa, manakala akaun elektrik didaftarkan atas nama pihak ketiga.
“Kegiatan ini berselindung di sebalik premis sewaan dan akaun elektrik atas nama pihak ketiga bagi mengelirukan pihak berkuasa serta menyukarkan usaha mengesan individu yang sebenarnya mengendalikan operasi berkenaan.









