KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan semakan kehakiman bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berhubung tuntutan bayaran cukai tambahan berjumlah lebih RM5 juta oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Semakan kehakiman itu berhubung tindakan LHDN mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan terhadap Mukhriz yang menuntutnya membayar cukai tambahan bagi tahun 2017 berjumlah RM2,558,875.90; bagi tahun 2018 berjumlah RM2,445,004.91; dan tahun 2019 berjumlah RM16,826.37.
Hakim Datuk Azizan Md Arshad memutuskan pertikaian itu perlu didengar oleh Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan dibawa ke mahkamah.
Dalam penghakiman ringkasnya, Hakim Azizan berkata, mahkamah menerima hujahan responden (LHDN) bahawa kesemua isu yang dibangkitkan sepatutnya diselesaikan menerusi mekanisme rayuan berkanun di bawah Akta Cukai Pendapatan (ITA) 1967.









