Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan ikat jamin bersama RM16,000 bagi kedua-dua tertuduh untuk kesemua pertuduhan.KUALA LUMPUR: Seorang pengarah dan bekas pengarah sebuah syarikat yang mengendalikan kafe didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan menggunakan istilah 'francais' tanpa kelulusan pendaftaran.
Pengarah Choco Loco (M) Sdn Bhd, Syaidatul Natasha Suhaimi, 36, dan bekas pengarahnya, Hadi Asasa, 37, didakwa bersama berhubung dua perjanjian francais antara Choco Loco dengan dua syarikat lain, iaitu Chocolate Cravings Sdn Bhd dan Choco Rush Global Trading Sdn Bhd.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Solaris Dutamas pada 1 April 2021 dan 1 Jun 2021 dengan menggunakan istilah 'francais' dalam perjanjian francais bersama kedua-dua syarikat berkenaan tanpa mendapatkan kelulusan Pendaftar Francais, mengikut Seksyen 8 Akta Francais 1998.








