KUALA LUMPUR: Kutipan zakat menerusi Skim Potongan Zakat Bulanan (PZB) Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mencecah RM521.09 juta bagi Januari hingga Oktober tahun ini, meningkat lapan peratus berbanding RM486.28 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata pencapaian itu mencerminkan komitmen majikan dan peningkatan kesedaran pekerja terhadap kewajipan itu, selain menunjukkan kepentingan kerjasama organisasi dalam memperkukuh budaya berzakat di tempat kerja.

Beliau berkata, Skim PZB memudahkan pekerja menunaikan zakat pendapatan secara konsisten setiap bulan, seterusnya membantu mereka merancang kewangan dan melaksanakan tanggungjawab agama dengan lebih sistematik.