PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menaikkan hukuman penjara seorang guru bahasa Arab kepada 10 tahun dan dua sebatan selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak muridnya berusia lapan tahun di sebuah sekolah rendah di Muar, tujuh tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohamed Zaini Mazlan yang bersidang bersama Datuk Ahmad Shahir Mohd Salleh dan Datuk Dean Wayne Daly sebulat suara membenarkan rayuan silang pihak pendakwaan bagi meningkatkan hukuman terhadap Ahnaf Afiq Shairul Bazri, 35, selain menolak rayuan akhirnya untuk mengetepikan sabitan.

Dengan keputusan itu, hukuman penjara asal selama empat tahun bagi kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) digandakan kepada lapan tahun, manakala hukuman penjara tambahan dua tahun di bawah Seksyen 16(1) akta sama dikekalkan.