PETALING JAYA: Penyanyi, Ernie Zakri mahu memberi lebih banyak ruang kepada album terbarunya, Atma, untuk dikenali pendengar dengan terus mempromosikan lagu-lagu dalam album itu sehingga tahun hadapan.
Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 34, berkata, dia mahu setiap lagu dalam album berkenaan diketengahkan dengan lebih jelas supaya pendengar dapat memahami karya yang ingin disampaikan menerusi setiap lagunya itu terutama lagu Sejambak Bunga.
“Album Atma ini akan saya bawa sehingga tahun depan. Saya mahu lagu-lagu dalam album ini diketengahkan dengan lebih jelas supaya orang ramai dapat memahaminya,”
“Sejambak Bunga adalah lagu yang sangat saya banggakan. Saya mahu terus memperjuangkan lagu ini dan membawanya ke pentas-pentas lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.









