PETALING JAYA: Pelumba muda Colombia, David Alonso dilaporkan menjalani ujian rahsia jentera MotoGP Honda di Litar Antarabangsa Sepang sebagai persediaan menghadapi penampilan sulungnya dalam kelas utama MotoGP musim depan.
Menurut laporan Crash.net yang memetik Motorsport.com, pelumba berusia 20 tahun itu kembali ke Sepang selepas Grand Prix Qatar untuk menyertai sesi ujian tertutup Honda berkenaan.
Alonso dikatakan menguji prototaip jentera 850cc menggunakan tayar Pirelli bersama dua pelumba ujian Honda Racing Corporation (HRC), Aleix Espargaro dan Takaaki Nakagami, sebelum menyertai LCR Honda.
Bagaimanapun, laporan berkenaan masih belum disahkan secara rasmi oleh Honda setakat ini, manakala Crash.net turut menyatakan penampilan Alonso dalam ujian itu berdasarkan maklumat yang dilaporkan Motorsport.com.








