Bermula dengan cita-cita sejak kecil untuk terbang, Mejar (B) Datuk Halim Othman hari ini berjaya menggapai impiannya termasuk menerbangkan beberapa jet pejuang ketika berkhidmat di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kini pesawat Extra 300L diperbuat dari Jerman untuk pertunjukan aerobatik.

Halim, 60, yang berasal dari Kampung Tengah Rengam, Simpang Renggam, Johor sebelum ini hanya mampu melihat kapal terbang melintasi kampung halamannya ketika kecil.

Disebabkan itu, anak keenam daripada 10 orang beradik ini menanamkan hasrat untuk menjadi juruterbang, namun perkara itu disifatkannya bukannya mudah.

"Pada ketika itu, untuk menjadi juruterbang komersial susah, tak tahu jalannya macam mana. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk masuk TUDM.