Sebanyak 26 calon hilang wang deposit selepas gagal memperoleh sekurang-kurangnya satu perlapan daripada keseluruhan jumlah undi yang dikira pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Parti Bersama Malaysia (Bersama) mencatatkan jumlah calon paling ramai kehilangan wang deposit apabila 15 daripada 16 calon yang bertanding atas tiket parti itu gagal memperoleh undi minimum ditetapkan.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga gagal memberikan impak pada PRN kali ini apabila lima calon kehilangan wang deposit daripada tujuh kawasan yang ditandingi manakala Pakatan Harapan (PH) menyaksikan dua daripada 24 calonnya berdepan nasib sama.

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang meletakkan calon tunggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek serta tiga calon Bebas tewas dan hilang wang deposit di kawasan ditandingi.