KUALA LUMPUR: "Ini bukan soal percaya atau tidak, sebaliknya satu keperluan."

Itu tegas ketua jurulatih skuad sepak takraw lelaki negara, Ahmad Jais Baharun, yang mengakui sokongan sains sukan menjadi antara elemen penting dalam membantu meningkatkan prestasi dan mengekalkan konsistensi pasukan di pentas antarabangsa.

Beliau berkata, kerjasama dengan Institut Sukan Negara (ISN) sejak 2023 memberi manfaat besar menerusi sokongan pelbagai disiplin termasuk analisis prestasi, biomekanik, kekuatan dan suaian fizikal, psikologi serta pemakanan.

Katanya, setiap disiplin itu saling melengkapi menerusi perkongsian data bagi mengenal pasti kelemahan pemain dan menentukan pendekatan terbaik untuk meningkatkan prestasi.