KUALA LUMPUR: Bukan calang-calang penghormatan apabila penyanyi, Ernie Zakri diberi peluang berkongsi pentas dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menerusi persembahan lagu klasik Perancis, La Vie En Rose pada majlis jamuan tengah hari rasmi, hari ini.

Lebih istimewa, Ernie bukan sekadar mendendangkan lagu popular itu di hadapan pemimpin nombor satu Perancis berkenaan, malah berpeluang menyanyikannya bersama Macron dalam majlis yang dihoskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Detik istimewa itu berlangsung bersempena lawatan rasmi dua hari Macron ke Malaysia, sekali gus mencipta momen bermakna yang menggabungkan seni muzik dengan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.