SHAH ALAM: Usaha melahirkan generasi baharu pakar pertahanan siber tempatan terus diperkasakan menerusi kerjasama strategik antara Sapura, Velum Labs Sdn Bhd dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), bagi mendepani ancaman serangan siber berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang semakin kompleks.

Kerjasama itu dilaksanakan menerusi penganjuran iHACK 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini hingga esok di Dewan Mawar Qaseh, UiTM Shah Alam, dengan UiTM bertindak sebagai penaja utama manakala Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) turut memberikan sokongan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura merangkap Pengasas Velum Labs, Tan Sri Shahril Shamsuddin berkata, pembangunan kepakaran tempatan dalam bidang pertahanan siber perlu diberi perhatian memandangkan keselamatan digital kini berkait rapat dengan keselamatan negara, daya tahan ekonomi dan kedaulatan teknologi.