Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan dikemukakan seorang guru agama berhubung saman kecuaian perubatan terhadap Kerajaan Malaysia serta pegawai dan petugas perubatan Hospital Pulau Pinang (HPP), yang merawatnya selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Panel tiga hakim dibarisi Hakim Datuk Dr Shahnaz Sulaiman, Datuk Nadzarin Wok Nordin dan Datuk Amarjeet Singh sebulat suara menolak rayuan itu serta memerintahkan Mohammad Nabill Sajid Mohammad Aslam Sajid membayar kos berjumlah RM30,000.

Ketika menyampaikan keputusan, Hakim Shahnaz berkata mahkamah mendapati tiada sebarang kekhilafan yang boleh dijadikan alasan untuk campur tangan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, yang pada asasnya membuat dapatan fakta berdasarkan keterangan dikemukakan.