Hakim Shahnaz Sulaiman, berkata hakim bicara tidak melakukan sebarang kekhilafan yang boleh dirayu ketika menilai keterangan perubatan serta mendapati pihak defendan bertindak selaras amalan perubatan yang diterima. PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak rayuan bekas guru agama berusia 27 tahun yang menyaman kerajaan dan 32 pihak lain atas dakwaan kecuaian perubatan ketika merawat kecederaannya akibat nahas jalan raya, pada 2020.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Shahnaz Sulaiman, bersama Nadzarin Wok Nordin dan Amarjeet Singh, menolak rayuan Nabill Sajid Aslam Sajid selepas mendapati tiada alasan untuk campur tangan keputusan Mahkamah Tinggi.

Shahnaz, yang menyampaikan keputusan, berkata hakim perbicaraan tidak melakukan sebarang kekhilafan yang boleh dirayu semasa menilai keterangan perubatan serta mendapati defendan bertindak selaras amalan perubatan munasabah.