PUTRAJAYA: Dakwaan bahawa senarai acara Sukan SEA 2027 tidak mencerminkan semangat kesukanan adalah tidak berasas, memandangkan 21 daripada 43 sukan yang dipertandingkan ialah acara Sukan Olimpik, selain rayuan Indonesia berhubung sukan hoki ais turut diterima Persekutuan Sukan SEA (SEAGF).

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, jumlah acara Sukan Olimpik yang disenaraikan bagi temasya dwitahunan itu jauh melebihi syarat minimum yang ditetapkan dalam piagam SEAGF, iaitu sekurang-kurangnya 10 acara.

"Kalau ada pihak yang menyatakan ini sesuatu yang merugikan ASEAN kerana digugurkan acara ataupun olahraga Olimpik, saya ingin menegaskan bahawa dalam piagam SEAGF, sekurang-kurangnya 10 acara Sukan Olimpik mesti dipertandingkan pada Sukan SEA.