MENTERI Pemuda dan Olahraga Indonesia, Erick Thohir mempersoalkan prinsip kesukanan susulan keputusan Malaysia menggugurkan beberapa acara sukan dipertandingkan di Sukan Olimpik daripada saingan Sukan SEA 2027.Erick menyifatkan keputusan itu sebagai sesuatu yang menyedihkan kerana tindakan berkenaan dilihat tidak menghargai usaha atlet Asia Tenggara yang selama ini bekerja keras sehingga mampu mencipta kejayaan di pentas dunia.Menurutnya, beberapa negara Asia Tenggara memiliki atlet bertaraf dunia dalam sukan yang turut dipertandingkan di Sukan Olimpik, antaranya Filipina dalam gimnastik, Thailand (taekwondo), Vietnam (menembak) serta Indonesia menerusi sukan memanjat tembok dan angkat berat."Jika acara sukan Olimpik ini tidak dipertandingkan, ia seolah-olah mengkhianati perjuangan atlet yang sudah mengibarkan bendera negara masing-masing," katanya.Sebagai langkah susulan, Erick memaklumkan beliau sudah menghantar surat kepada Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Dr Mohammed Taufiq Johari bagi mendapatkan penjelasan serta komitmen tuan rumah dalam memastikan prinsip keadilan dan kesukanan terus dihormati.Bagaimanapun, Taufiq sebelum ini menegaskan tiada isu berhubung pemilihan sukan kerana program temasya itu ditentukan mengikut proses dan peraturan Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) serta dipersetujui negara anggota.Program Sukan SEA 2027 juga sudah dimuktamadkan dengan 473 acara membabitkan 43 jenis sukan disahkan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif SEAGF ketiga pada 30 Oktober lalu.Mesyuarat berkenaan turut disertai secara dalam talian oleh presiden dan wakil Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) dari seluruh rantau ini, dengan keputusan dibuat selepas perbincangan membabitkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) serta jawatankuasa eksekutif SEAGF berdasarkan piagam dan peraturan badan itu.Untuk rekod, antara sukan yang tidak disenaraikan dalam program Sukan SEA 2027 termasuk memanjat tembok, mendayung, bola tampar pantai, gusti, catur, jujitsu, kickboxing, bola baling dan triathlon selain beberapa acara badminton berpasukan lelaki serta wanita.