PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menolak permohonan Persatuan Bank-Bank Perdagangan Tanah Melayu (MCBA) untuk mendapatkan perintah interim bagi menghalang Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) daripada menjalankan aktiviti kesatuan sekerjanya.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Firuz Jaffril, bersama Hakim Ismail Brahim dan Dean Wayne Daly, memutuskan bahawa perintah itu tidak diperlukan kerana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah pun memberikan penangguhan pelaksanaan, manakala prosiding menghina mahkamah terhadap NUBE dan pegawainya juga telah dimulakan.

“MCBA boleh menangani perkara itu semasa prosiding menghina mahkamah,” kata Firuz.

Beliau turut mengambil maklum bahawa NUBE telah menggantung aktiviti kempennya selepas mengadakan perhimpunan aman dan menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO).