Badan Peguam Malaysia memfailkan permohonan baharu pada Selasa bagi mencabar keputusan membenarkan Najib Razak menjalani tahanan rumah.KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membantah permohonan baharu Badan Peguam Malaysia yang mencabar keputusan membenarkan bekas perdana menteri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International menerusi tahanan rumah.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi S Indra Nehru hari ini bahawa kerajaan hanya menerima dokumen mahkamah berhubung permohonan baharu itu pada Selasa lalu.

Beliau berkata, pasukan Jabatan Peguam Negara memerlukan masa untuk meneliti dokumen berkenaan sebelum menyediakan jawapan.

“Kami akan membantah permohonan ini kerana keputusan (memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib) tidak boleh disemak oleh mahkamah,” katanya.