KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan berkait tahanan rumah Datuk Seri Najib Tun Razak.
Permohonan itu menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Penjara dan Najib sebagai responden.
Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly@Arwi berkata, bantahan itu dibuat memandangkan keputusan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan adalah bersifat tidak boleh dicabar di mahkamah (non-justiciable).
Katanya, pihak AGC juga memerlukan masa untuk meneliti permohonan berkenaan sebelum memfailkan hujahan bertulis bagi mengemukakan bantahan secara teratur.









