KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan Badan Peguam mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman, bagi mencabar keputusan berhubung perintah tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi, berhujah keputusan dipersoalkan menyentuh kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, yang tidak boleh dicabar di mahkamah.

Katanya, pihaknya baru sahaja menerima permohonan berkenaan dua hari lalu melalui e-mel, dan pastinya Peguam Negara membantah.

"Keputusan dipersoalkan berkaitan keputusan Yang di-Pertuan Agong yang mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengampunan, yang tidak boleh diadili mahkamah," katanya ketika prosiding di Mahkamah Tinggi, hari ini.