PETALING JAYA: Bakal jemaah haji dan umrah yang menggunakan perkhidmatan TH Travel & Services Sdn. Bhd. (THTS) berpeluang mendapatkan khidmat penyediaan dokumen wasiat dan hibah menerusi kerjasama syarikat itu dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Setiausaha MAIS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, kerjasama itu membolehkan pihaknya memanfaatkan rangkaian pelanggan THTS untuk memberi penerangan mengenai perancangan harta mengikut hukum syarak, selain menyediakan dokumen wasiat dan hibah kepada mereka yang memerlukan.
“Namun demikian, kesedaran mengenai kepentingan menyediakan dokumen perancangan harta seperti wasiat dan hibah masih perlu dipertingkatkan.
“Perkara ini penting bagi memastikan pengurusan, pentadbiran dan pengagihan harta dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, mengikut ketetapan Hukum Syarak serta mengurangkan risiko pertikaian dalam kalangan waris pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MAIS dengan THTS di Hotel Concorde, Shah Alam.









