INTEGRITI bukan hanya menentukan mutu pentadbiran. Nilai ini turut membentuk hubungan antara rakyat dengan negara, mempengaruhi cara perbezaan diraikan dan menentukan sama ada setiap warga berasa dirinya sebahagian daripada sebuah bangsa yang mempunyai cita-cita bersama.
Malaysia memiliki pelbagai asas untuk membina masyarakat yang bersatu dan sejahtera, antaranya Rukun Negara, Dasar Perpaduan Negara (DPN), Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES) serta dasar pembangunan negara. Setiap kerangka membawa mandat dan pendekatan tersendiri. Namun, kekuatan agenda ini bergantung pada sejauh mana pelaksanaan saling menyokong, bukan bergerak sebagai usaha yang terasing.
Pembinaan negara bangsa merangkumi penyatuan penduduk di bawah satu kewarganegaraan, ia menuntut identiti nasional, kesetiaan dan rasa tanggungjawab bersama yang berasaskan keyakinan bahawa setiap warga mempunyai tempat dalam negara ini. Dalam masyarakat berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya, kebersamaan tidak boleh dibina melalui keseragaman, sebaliknya perlu tumbuh daripada penerimaan terhadap kepelbagaian dan pengalaman hidup yang adil.









