FORUM Ilmuwan MADANI Siri Ke-14 bertemakan Keselamatan dan Keterjaminan Makanan pada 6 November lalu di Kuala Lumpur membawa persoalan penting mengenai keupayaan Malaysia menghadapi ketidaktentuan sistem makanan global. Dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, forum ini memperlihatkan bahawa keterjaminan makanan bukan sekadar persoalan pengeluaran pertanian, tetapi turut berkait dengan keselamatan negara, kecekapan ekonomi, keadilan sosial dan keberkesanan tadbir urus.
Dalam persekitaran antarabangsa yang dibayangi konflik geopolitik, perubahan iklim, gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan harga komoditi, kebergantungan kepada pasaran makanan global meningkatkan pendedahan negara terhadap kejutan luaran. Justeru, penegasan Anwar bahawa keterjaminan makanan merupakan sebahagian daripada national security dan economic security membawa implikasi strategik terhadap hala tuju pembangunan Malaysia.










