KOTA BHARU: UMNO Kelantan menyifatkan kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua bersifat sindiran melampau dan mempunyai unsur-unsur hasutan yang tinggi kepada rakyat supaya membenci dan mempertikaikan hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Timbalan Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Noor Hariri Mohamed Noor memohon supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri mengambil serius perkara itu kerana ia membabitkan penghinaan terhadap institusi Diraja Negara.

Katanya, beliau mengecam sekeras-kerasnya kenyataan dibuat Pua di laman Facebook yang mempersenda dan mempersoalkan perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong yang mengurniakan hukuman tahanan rumah kepada Datuk Seri Najib Razak.