KUALA LUMPUR: Kerajaan belum menetapkan tarikh khusus bagi pelaksanaan penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak, meskipun tindakan awal termasuk mengadakan libat urus dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dimulakan sejak September lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak mengadakan libat urus dengan SPR pada 22 September lalu susulan keputusan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada 11 September lalu.
Katanya, mesyuarat MTPMA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, secara prinsipnya bersetuju meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat selaras dengan semangat asal pembentukan Malaysia.









