Kuala Lumpur: Kerajaan menetapkan sasaran minimum 30 peratus kandungan tempatan bagi projek pusat data baharu diluluskan di bawah Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) untuk meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam pembangunan industri itu.

Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak anak Kumbong berkata syarat itu merangkumi perkhidmatan kejuruteraan, penyelenggaraan, rangkaian dan penyediaan teknologi.

Beliau berkata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memantau pematuhan syarat berkenaan melalui laporan pelaksanaan yang dikemukakan syarikat setiap enam bulan.

"Pada masa sama, pengendali pusat data digalakkan melaksanakan program pembangunan pembekal tempatan bagi memperkukuh keupayaan industri domestik serta menggalakkan pemindahan teknologi," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.