Seremban: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, membenarkan permohonan peguam mewakili 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang dibatalkan pelantikan mereka untuk menarik balik saman pemula difailkan terhadap tiga defendan termasuk kerajaan negeri.

Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain membenarkan penarikan balik saman itu selepas dimaklumkan peguam plaintif, Datuk Mohd Hafarizam Harun bahawa anak guamnya memutuskan untuk menarik balik keseluruhan saman.

Pada prosiding yang berjalan secara sidang video itu, Roz Mawar turut membenarkan permohonan di bawah bidang kuasa asal di Mahkamah Persekutuan dengan syarat tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.

Beliau turut memerintahkan plaintif membayar kos seperti yang dipersetujui bersama pihak defendan iaitu RM20,000 masing-masing kepada defendan pertama dan kedua serta RM8,000 kepada defendan ketiga.