KUALA LUMPUR: Hanya empat bulan selepas melakar pencapaian terbaik dalam kariernya dengan meraih pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2026, perjalanan atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin dalam sukan itu berakhir susulan kemalangan jalan raya, Isnin lalu.

Atlet berusia 22 kini terpaksa menerima hakikat kehilangan tangan kanan selepas menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), malam tadi.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berkata, keadaan Hafizuddin yang meraih emas kategori 88 kilogram (kg) di Glasgow, kini stabil dan dia sudah sedar sepenuhnya serta mampu berbual, tersenyum dan menerima kunjungan tetamu.

Beliau berkata, meskipun sedar akan kesan kecederaan terhadap masa depannya, Hafizuddin dilihat tabah dan masih menunjukkan semangat tinggi ketika diziarahi di hospital.