Mat Salleh Jalani akan jalani hukuman itu secara berasingan dengan hukuman penjara enam tahun sedia ada yang sedang dijalaninya bagi kesalahan serangan seksual terhadap seorang lagi bekas atlet Sukma. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Bekas jurulatih boling dijatuhi hukuman penjara dua tahun lagi kerana mencabul kehormatan seorang bekas atlet Sukma berusia 13 tahun ketika kejadian itu berlaku.

Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Mat Salleh Jalani, 63, di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Panel tiga hakim terdiri Hakim Azmi Ariffin, Hayatul Akmal Abdul Aziz, dan Meor Hashimi Abdul Hamid, memerintahkan hukuman itu berjalan berasingan dengan hukuman penjara enam tahun sedia ada yang sedang dijalani Mat Salleh bagi kesalahan serangan seksual terhadap seorang lagi bekas atlet Sukma di bawah Seksyen 14A Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.