Bangkok: Bekas sami Thailand, Alongkot dijatuhi hukuman penjara terkumpul selama 742 tahun, manakala seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai medium kerohanian, Bee dihukum penjara selama 386 tahun serta 1,480 bulan.

Hukuman itu terhadap kes penyelewengan dana kuil dan pengubahan wang haram membabitkan sumbangan lebih 10 bilion baht (kira-kira RM1.218 bilion) yang dikaitkan dengan Wat Phra Bat Nam Phu.

Mahkamah Jenayah Pusat bagi Kes Rasuah dan Salah Laku menjatuhkan hukuman itu minggu ini, namun tempoh pemenjaraan sebenar Bee dihadkan kepada maksimum 50 tahun, selaras peruntukan undang-undang Thailand selepas mahkamah mengambil kira manfaat keterangannya dalam kes berkenaan.

Kedua-dua tertuduh turut diperintahkan membayar balik secara bersama wang berjumlah lebih 300 juta baht (RM36.55 juta).