KUALA LUMPUR: Sikap sesetengah ibu bapa kurang menghormati guru dan terlalu cepat menyalahkan sekolah apabila anak berdepan masalah dikhuatiri menyumbang kepada kemerosotan rasa hormat murid terhadap pendidik.

Selain itu, rata-rata guru juga dibelenggu rasa bimbang berdepan tindakan undang-undang dan aduan, sekali gus lebih mengutamakan perlindungan diri berbanding tindakan mendisiplinkan murid.

Perkembangan itu yang dibimbangi boleh menjejaskan peranan sekolah sebagai institusi pembentukan sahsiah adalah antara maklum balas diperoleh BH daripada guru sendiri, pakar psikologi pendidikan dan juga pihak kesatuan mewakili golongan pendidik.

Seorang guru memberitahu BH, berdasarkan pengalamannya sebagai pendidik selain sebagai ibu, ada ibu bapa cenderung terus menyalahkan guru atau sekolah apabila anak mereka berdepan masalah disiplin atau pembelajaran.