KUALA LUMPUR: Hanya 34.1 peratus kes kecemasan yang mengancam nyawa menerima respons dalam tempoh kurang 15 minit, berbanding sasaran 50 peratus yang ditetapkan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pihaknya mengakui peratusan itu masih belum memenuhi sasaran ditetapkan.
"Bagi 2025, pencapaian keseluruhan di peringkat nasional bagi kes keutamaan satu (Priority 1), hanya 34.1 peratus, iaitu masih di bawah sasaran 50 peratus yang kami tetapkan.
"Saya bersama Ketua Pengarah Kesihatan turut meneliti perkara ini kerana petunjuk prestasi utama (KPI) berkenaan masih belum dapat dipenuhi dan ia sememangnya satu cabaran besar," katanya ketika Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.








