KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Isnin berkenan mewasalkan Darjah Utama Seri Mahkota Negara (DMN) kepada Raja Jordan, Raja Abdullah II yang kini dalam lawatan negara dua hari ke Malaysia.Raja Abdullah II menerima darjah kebesaran itu dalam istiadat khas di Dewan Seri Maharaja, Istana Negara selepas mengadakan pertemuan empat mata dengan Sultan Ibrahim.Istiadat berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan serta tetamu kehormat lain.Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Negeri dan Ekspatriat Jordan, Ayman Safadi serta pegawai kanan dari Istana Diraja Hasyimiah dan Kerajaan Jordan.DMN yang diwartakan pada 21 Ogos 1958 merupakan antara darjah kebesaran Persekutuan yang boleh dikurniakan secara kehormat kepada raja, sultan, permaisuri, putera dan puteri diraja serta ketua negara asing.Terdahulu, Raja Abdullah II diberikan sambutan negara di Dataran Kawad Istana Negara sempena lawatan negara Baginda yang bermula semalam.Baginda turut dijadual menerima menghadap Anwar di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, sebelum mengakhiri lawatan negara ke Malaysia.Malaysia dan Jordan telah menjalinkan hubungan diplomatik secara rasmi sejak 1965.- Bernama