KUALA LUMPUR: Garisan sempadan Kedah hari ini terhasil daripada sejarah panjang yang membabitkan tanah, perjanjian dan kerja ukur. Namun ia bukan sekadar garisan geografi yang dilukis di atas peta, sebaliknya menjadi elemen penting dalam menentukan keselamatan, kedaulatan serta identiti sesebuah negara.

Pensyarah Kanan Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Perlis, Dr Ismail Maarof, berkata dalam konteks negeri Kedah, sejarah persempadanan wilayah memperlihatkan evolusi panjang daripada sistem pentadbiran tanah tradisional, perubahan selepas kedatangan British sehinggalah penggunaan teknologi pemetaan moden.

Katanya, sebelum kedatangan kuasa Barat, pemilikan dan pentadbiran tanah di Tanah Melayu berpandukan Undang-undang Adat Melayu, namun, struktur ini mula berubah secara drastik apabila British memperkenalkan pentadbiran undang-undang moden.