Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mendedahkan kelompok ajaran sesat kini menyebarkan kegiatan mereka secara dalam talian menerusi pelbagai platform sehingga menyukarkan untuk memantau mereka.
JAWI berkata, kaedah penyebaran yang digunakan ini menyebabkan pihak berkuasa tidak dapat mengenal pasti lokasi kejadian sebenar, selain ketiadaan peruntukan kesalahan yang dilakukan menerusi dalam talian.
Katanya, antara kesukaran lain yang dihadapi apabila gerakan ajaran sesat ini bermula atau bergerak secara tersembunyi dan hanya menyasarkan golongan tertentu sahaja serta tidak terbuka untuk orang ramai.
"Masyarakat hanya mulai sedar apabila ia berkembang dan merebak kerana peningkatan pengikut serta pendengar yang dapat membezakan antara hak dan bathil," katanya kepada Harian Metro hari ini.






