London: Gangguan yang menjejaskan infrastruktur Google Cloud di Eropah Barat menyebabkan beberapa perkhidmatan dalam talian di United Kingdom (UK) dan antarabangsa mengalami gangguan pada Selasa, termasuk aplikasi perbankan, peruncit dan syarikat penghantaran, lapor Anadolu Ajansi.
Penyedia perkhidmatan kewangan Revolut, Lloyds Bank dan HSBC antara yang terjejas manakala peruncit barangan pembaikan rumah Screwfix serta syarikat penghantaran DPD turut mengalami masalah, menurut Downdetector, platform yang menjejaki laporan pengguna mengenai gangguan perkhidmatan.
Jutaan pelanggan Revolut dilaporkan tidak dapat mengakses akaun atau membuat pembayaran menggunakan kad berikutan gangguan sistem itu. Platform perbankan digital berkenaan, yang menyediakan perkhidmatan kepada lebih 80 juta pelanggan di seluruh dunia, termasuk 13 juta di UK, memaklumkan bahawa beberapa perkhidmatannya tidak tersedia akibat gangguan perkhidmatan.










