KUALA LUMPUR: Terkilan apabila nama yang diberikan ibu bapa dengan maksud yang baik dijadikan bahan ejekan, pelakon Ruhainies mengakui terkesan dengan gelaran berbaur penghinaan 'Ruhanat' yang didakwa dilemparkan segelintir netizen terhadapnya sejak tiga tahun lalu.

Ruhainies, 34, berkata gelaran itu bukan sahaja mencalarkan nama baiknya, malah mengguris perasaan apabila namanya dipersendakan sehingga menjadi ikutan pengguna media sosial lain.

"Mereka mengubah nama saya kepada gelaran 'Ruhanat'. Ibu bapa saya memberikan nama yang baik dan mempunyai maksud yang baik.

"Saya belum mengenal pasti siapa yang memulakan gelaran itu, tetapi netizen lain terus mengikutinya sehingga kini. Perkara ini sudah berlarutan selama tiga tahun," katanya.