RIYADH: Cristiano Ronaldo semakin menghampiri satu lagi pencapaian bersejarah dalam kariernya apabila hanya memerlukan 15 gol untuk mencapai angka 1,000 jaringan selepas meledak hatrik ketika membantu Al Nassr menewaskan Al Kholood 5-3 dalam aksi Liga Pro Arab Saudi, semalam.

Hatrik yang dicipta dalam tempoh 15 minit itu menyaksikan kapten Portugal berkenaan meningkatkan jumlah jaringan sepanjang karier profesionalnya kepada 985 gol, sekali gus menghampiri sasaran yang sekian lama diburunya.

Ketika perlawanan terikat 2-2, Ronaldo mencuri tumpuan menerusi jaringan pada minit ke-66, 72 dan 81 untuk memastikan Al Nassr meraih tiga mata.

Kegembiraan itu turut dikongsikan Ronaldo menerusi media sosial apabila memuji prestasi pasukannya selain meluahkan kepuasan kerana berjaya menyumbang hatrik.