IPOH: Pada sambutan Deepavali, sari pasti menjadi pilihan utama wanita penganut Hindu untuk digayakan kerana melambangkan keanggunan, jati diri serta adat resam yang diwarisi sejak turun-temurun.

Namun, di sebalik keindahannya, proses mengikat dan membentuk lipatan sari sepanjang enam meter bukan perkara mudah, khususnya kepada mereka yang kurang mahir atau kesuntukan masa pada pagi perayaan, yang boleh mengambil masa antara 20 minit hingga satu jam.

Menyedari perkara itu, pereka fesyen dan tukang jahit S.C Kavitha atau lebih dikenali sebagai Kavitha Chetty mengambil inisiatif menghasilkan sari siap pakai dan sari sedia lipat yang lebih cepat dan mudah dipakai, terutamanya kepada mereka yang kurang mahir atau generasi muda.