KUALA LUMPUR: Pengorbanan dan komitmen tinggi ditunjukkan pemain berdarah warisan, Richard Chin yang sanggup menempuh perjalanan jauh dari Scotland demi menyahut seruan skuad Harimau Malaya mendapat pujian meluas daripada penyokong bola sepak tempatan.

Tonggak berusia 24 tahun yang beraksi bersama Ross County adalah salah seorang daripada empat pemain berpangkalan di luar negara yang dipanggil jurulatih interim, Tan Cheng Hoe bagi mengharungi dua aksi persahabatan Antarabangsa Tier 1 menentang China dan Yaman.

Menerusi ruangan komen di laman Facebook Malaysia NT, majoriti penyokong menzahirkan rasa terharu dan bangga melihat kesungguhan Chin yang terbang dari Scotland untuk menyertai pasukan sebelum berlepas ke China menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).