KUALA LUMPUR: Beberapa kenderaan polis memasuki Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini, susulan perkembangan terbaru berhubung pelaksanaan tahanan rumah ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, media diminta meninggalkan perkarangan rumah bekas Perdana Menteri itu bagi membolehkan peningkatan kawalan keselamatan.

Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada Najib akan dibawa menjalani hukuman tahanan di rumahnya di Langgak Duta itu pada hari ini atau tidak.

Pada jam 2.40 petang tadi, media melaporkan, konvoi lima kenderaan membawa Najib dilihat meninggalkan Penjara Kajang menuju ke Mahkamah Tinggi bagi mengikuti prosiding permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengkaji semula dan meneliti perintah pelepasan yang dikeluarkan terhadap bekas perdana menteri itu.