KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasarkan pasaran baharu di Afrika, Amerika Latin dan Asia Tengah bagi mempelbagaikan destinasi eksport perabot negara susulan ketidaktentuan perdagangan global serta mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional.

Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Strategik MATRADE, Raja Badrulnizam Raja Kamalzaman, berkata usaha itu penting memandangkan kira-kira 70 peratus eksport Malaysia tertumpu kepada 10 pasaran utama, termasuk Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS), Jepun dan ASEAN.

Katanya, perubahan landskap perdagangan global, termasuk pelaksanaan tarif serta ketegangan geopolitik, mendorong keperluan untuk meneroka destinasi eksport baharu bagi mengurangkan risiko kebergantungan kepada pasaran sedia ada.