KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan berwaspada terhadap pihak yang mendakwa mempunyai kuota atau boleh menguruskan visa haji bagi menawarkan perkhidmatan badal haji.
Lembaga Tabung Haji (TH) dalam satu kenyataan, hari ini, menjelaskan ini kerana kuota dan visa haji adalah tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Arab Saudi.
"Orang ramai juga diingatkan tidak mudah terperdaya dengan tawaran perkhidmatan badal haji yang tidak sah, khususnya yang menawarkan harga murah tanpa bukti dan pengesahan jelas.
"TH tidak melantik atau memberi pengiktirafan kepada mana-mana syarikat atau individu untuk menjalankan perkhidmatan badal haji.









