Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) menegaskan pihaknya tidak pernah memberikan pengiktirafan atau sokongan rasmi kepada mana-mana pengendali perkhidmatan badal haji.

TH dalam kenyataan malam tadi berkata, dakwaan sebaliknya oleh mana-mana pihak di media sosial adalah tidak benar dan mengelirukan.

"Orang ramai dinasihatkan menyemak kesahihan dakwaan melalui saluran rasmi TH. TH berhak mengambil tindakan sewajarnya terhadap penyalahgunaan nama dan logonya," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan beberapa aduan diterima daripada orang ramai berhubung tawaran perkhidmatan badal haji oleh pihak tertentu yang didakwa mengaitkan perkhidmatan berkenaan dengan TH termasuk menerusi hantaran yang tular di media sosial.