PETALING JAYA: Tawaran perkhidmatan badal haji yang diiklankan secara keterlaluan selain mengumpulkan sehingga ratusan nama dalam satu musim haji merupakan antara petanda amalan penipuan yang perlu diwaspadai masyarakat.
Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours, Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, orang ramai perlu berhati-hati dengan pihak yang giat mengiklankan perkhidmatan badal haji, terutama mereka yang tidak diketahui latar belakang dan individu yang bertanggungjawab melaksanakan ibadah berkenaan di Tanah Suci.
Katanya, pelaksanaan badal haji membabitkan seorang individu bagi satu pelaksanaan haji, bukannya seorang pelaksana mengambil upah untuk melaksanakan haji bagi ramai individu.
“Kalau satu kumpulan itu mengiklankan bahawa mereka melaksanakan badal haji, pada pendapat saya ia sudah menjadi perniagaan. Badal haji ini satu bentuk ibadah, bukan institusi perniagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.


