KUALA LUMPUR: Personaliti kulinari terkenal negara, Chef Anis Nabilah, melakar satu lagi kejayaan apabila dinobatkan sebagai penerima TOP Outstanding Celebrity Chef Award 2026 pada Anugerah World Top Gourmet Kali Ke-8 2026.
Pengiktirafan berprestij itu disampaikan pada majlis anugerah yang berlangsung di Andaman Grand Ballroom, Kuala Lumpur, 22 Oktober lalu, bagi meraikan kecemerlangan cef, usahawan serta jenama makanan dan minuman (F&B) dari dalam dan luar negara.
Anis berkata, penghargaan itu amat bermakna buat dirinya selepas melalui pelbagai pengalaman dan cabaran sepanjang menceburi bidang kulinari.
Beliau yang nama sebenarnya Anis Nabilah Umaruddin berkata, kejayaan itu turut didorong sokongan keluarga, rakan-rakan serta individu yang banyak memberikan inspirasi dan dorongan sepanjang perjalanan kerjayanya.


